Pada 9 hingga 11 Mac 2023, pelajar PISMP Ambilan Jun 2021 Pendidikan Islam 2 di bawah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) telah melaksanakan program Mentor Mentee bersama warga orang asli di Pos Hendrop dan Pos Tuel yang bertempat di Gua Musang, Kelantan. Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk memberikan pendedahan dan bimbingan kepada warga orang asli di sana berkaitan dengan agama khususnya dalam bab solat. Program ini berfokuskan kepada kanak-kanak orang asli. Tidak dilupakan juga kepada warga remaja dan dewasa, pelajar juga membuat perkongsian berkaitan agama bersama mereka bagi menjawab persoalan-persoalan yang ingin disoal.
Pelajar dan pensyarah berkumpul di hadapan Dewal al-Farabi IPGKDRI. Pengangkutan yang digunakan ialah sebanyak 2 van dan 2 kereta pensyarah pengiring. Dr. Hajar Narita Binti Mohd Noor, Pengarah IPGKDRI turut hadir untuk memberikan kata-kata peringatan dan nasihat kepada para peserta program sebelum bertolak ke destinasi. Selepas kata-kata diucapkan oleh Pengarah, doa dibacakan oleh Saudara Muhammad Umar Bin Mohd Asri sebagai pengerusi program. Tepat pada pukul 8:45 pagi, semua fasilitator bersama pensyarah pengiring bertolak ke destinasi.
Dalam perjalanan ke Gua Musang, para fasilitator sempat untuk singgah ke dua buah masjid yang popular di Gua Musang iaitu Masjid Buluh dan Masjid Razaleigh untuk solat Zohor. Kedua-dua masjid ini terletak di kawasan yang berhampiran. Sesudah solat zohor, perjalanan diteruskan.
Tepat pada pukul 5:15, para fasilitator dan pensyarah sampai ke Pos Hendrop, Gua Musang Kelantan. Kami disambut oleh Ustaz Haris sebagai ketua agama islam di Pos Hendrop, seorang pegawai JAKIM, Ustazah Amalina dari Pos Tuel dan Ustazah Zaiton sebagai penggerak masyarakat Pos Hendrop. Kami disambut dengan baik oleh mereka sebagai tetamu. Selepas itu, sekumpulan fasilitator bersama Ustaz Mubarak, bertolak ke Pos Tuel yang terletak 19 km dari Pos Hendrop untuk menyantuni warga masayarakat orang asli di sana
Para fasilitator telah bertemu dengan ketua kampung Kawasan Pos Tuel untuk bertanya khabar dan meminta izin untuk melaksanakan program di sana. Para fasilitator juga menyapa warga orang asli di sana dan memberi sedikit cenderahati kepada mereka. Fasilitator juga melayani kanak-kanak di sana dengan bermainan beberapa permainan. Sesudah itu, fasilitator dan Ustaz Mubarak pulang ke Pos Hendrop.
Pada sebelah malam, fasilitator memimpin aktiviti di masjid Al-Hidayah, Pos Hendrop. Bacaan Yaasiin dipimpin oleh saudara Muhammad Haziq bin Mohd Rizal. Tazkirah maghrib dan solat isyak diimamkan oleh saudara Umar. Selepas aktiviti di masjid selesai, warga orang asli dijamukan dengan masakan yang disediakan oleh Fasilitator.
Pada waktu subuh, solat subuh diimamkan oleh Saudara Muhammad
Izzuddin Bin Idris. Tazkirah subuh telah disampaikan oleh Ustaz Shamsuddin
berkenaan dengan tafsir surah as-Shams. Sarapan pagi juga disediakan oleh pihak
fasilitator untuk warga orang asli.
Pada setiap jumaat pagi, orang islam Pos Hendrop akan berkumpul di Masjid al-Hidayah untuk aktiviti perkongsian agama. Semua warga remaja dan dewasa diwajibkan hadir. Untuk perkongsian kali ini, fasilitator mengetuai setiap pecahan kumpulan. Fasilitator lelaki berkongsi berkenaan ilmu agama kepada warga orang asli di sana. Bagi fasilitator perempuan, aktiviti yang dibuat ialah bersama dengan kanak-kanak orang asli. Aktiviti ini dilaksanakan bagi memenuhi objektif program iaitu untuk mengajar kanak-kanak orang asli berkaitan solat. Aktiviti permainan, perkongsian dalam kumpulan, nyanyian dan sebagainya dilaksanakan dengan baik secara berkumpulan.
Pada 12 tengahari, satu majlis ringkas dilaksanakan yang turut dihadiri oleh Tuan Haji Wan Zaidi Bin Wan Nawi, Ketua Unit Khidmat Pengurusan IPGKDRI. Beliau telah menyampaikan ucapan dan hasrat untuk program yang dilaksanakan ini sebagai salah satu usaha untuk membantu perkampungan orang asli yang memerlukan keperluan ilmu pengetahuan agama sebagai umat islam. Dalam majlis itu juga, telah disampaikan sumbangan berbentuk lampu solar untuk kegunaan warga Pos Hendrop itu sendiri.
Pada sebelah petang, sekali lagi dilaksanakan aktiviti bersama
kanak-kanak. Aktiviti yang dijalankan ialah mengajar murid untuk menyebut
kalimah tahlil, doa masuk dan keluar masjid. Ini adalah bertujuan untuk menarik
minat kanak-kanak ini untuk sentiasa mengunjungi ke masjid untuk solat
berjemaah, aktiviti masjid dan sebagainya. Selepas itu, mereka diberikan
permainan sebagai tanda-tanda kenangan antara pihak IPGKDRI dan kanak-kanak Pos
Hendrop. Warga islam orang asli Pos Hendrop juga diberikan beberapa cenderahati
berbentuk makanan, bookmark, sticker, surah al-Fatihah dan ayat Seribu Dinar.
Selepas itu, para fasilitator dan pensyarah bergerak ke Cameron Highlands untuk
bermalam di sana.
Pada sesi malam, telah dilaksanakan satu Usrah perbincangan dan
refleksi berkaitan aktiviti pada hari tersebut. Usrah itu diketuai oleh Ustaz
Shamsuddin dan Ustaz Mubarak.
Tarikh: 11 Mac 2023
Hari: Sabtu
Para fasilitatir bertolak ke Pos Tuel, Gua Musang. Fasilitator
membuat aktiviti perkongsian bersama warga islam orang asli di Pos Tuel.
Majlis penyerahan dan sumbangan telah diadakan di Pos Tuel yang
telah dirasmikan oleh Tuan Haji Wan Zaidi Bin Wan Nawi, Ketua Unit Khidmat
Pengurusan IPGKDRI. Sumbangan itu dalam berbentuk lampu solar dan beberapa
cenderahati
Sesudah majlis tamat, fasilitator terus begerak pulang ke IPGKDRI
dan sampai pada 7:30 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan